Friday, May 23, 2008

Ramai ahli UMNO hipokrit – Rafidah

KOTA BHARU 23 Mei – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz hari ini menyelar ahli-ahli yang bersikap hipokrit sehingga menyebabkan parti itu berterusan dilanda pelbagai kemelut.

Menurut Rafidah, sikap ’yes boss’ anggota parti yang mengiakan setiap keputusan dan kata-kata pemimpin walaupun mereka sebenarnya tidak sependapat, menyumbang kepada masalah yang bertimpa-timpa dihadapi parti ketika ini.

Dengan sikap sebegitu, katanya, tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas kekalahan besar parti pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

``Tidak patutlah kalau nak salahkan presiden semata-mata sehingga suruh dia letak jawatan. Ahli UMNO ni ramai yang hipokrit, sebab itulah nakhoda tidak tahu mana nak pergi, dia ingat semua nak pergi satu tempat kerana di depan mereka kata ya, tak pernah ditegur, tapi belakang pula kata lain.

``Bila timbul masalah, suruh tukar nakhoda. Tak bolehlah setiap kali kapal nak karam, kita angkat nakhoda buang ke laut,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan Wanita UMNO Kelantan di sini hari ini.

Rafidah berkata, pelbagai kemelut yang berlaku dalam UMNO kini memberi isyarat kepada anggotanya bahawa sudah tiba masanya mereka berubah dan lebih ikhlas dan berani dalam perjuangan.

``Hakikatnya tidak ada sesiapa yang berani cakap perkara yang menyakitkan hati ketua mereka. Ada yang berani tegur malangnya kalau ketua mereka sakit hati, terimalah padahnya, tapi yang pentingnya, perlu ikhlas dalam perjuangan.

``Ketua pun kenalah terima teguran anak buah dan anggap itu teguran membina. Dua-dua pihak sepatutnya lebih terbuka. Tapi cara tegur tu kenalah betul,” katanya.
Menyentuh isu peralihan kuasa, Rafidah berpendapat ahli UMNO tidak wajar terlalu mendesak dan seharusnya menyerahkan soal bila ia akan berlaku kepada pertimbangan Abdullah dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

``Kita janganlah nak letak banyak sangat syarat, biar orang nombor satu parti dan nombor dua berunding sebaik mungkin, mereka faham apa yang perlu dilakukan.
``Kalau sememangnya ada peralihan kuasa, biar mereka yang tentukan. Itu yang sebaiknya untuk parti, bukan baik untuk individu,” katanya.

Mengulas tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar UMNO pada Isnin lepas sambil menggesa anggota parti itu mengikut jejaknya, Rafidah berkata, beliau yakin ahli lebih setia kepada parti berbanding kepada individu.

Menurut beliau, tindakan Dr Mahathir itu sesuatu yang mendukacitakan kerana sanggup menyanggah prinsip setia kepada parti seperti yang pernah diajarnya ketika memimpin parti.

``UMNO lah yang bawa dia sampai ke puncak sehingga menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Apa yang berlaku ini bukan salah UMNO tapi masalah kita yang ada di dalam parti ini.

``Kita ikut ajaran Tun (Mahathir) supaya kita setia kepada parti, tetapi dia sendiri tidak buat. Bagaimanapun, kita tidak bimbang anggota UMNO akan ikut keluar parti kerana mereka setia kepada UMNO,” katanya. – BERNAMA.

1 comment:

Anonymous said...

Memang ada sifat hipokrit dalam diri ramai individu, masyarakat, puak dan di seantero dunia.

Dalam konteks politik, ia ada dalam semua parti. Paling ketara dalam PAS. Setelah menguasai Terengganu suatu ketika dulu, PAS terus selesa. Seperti biasa, ahli PAS jarang membuka mulut lebih daripada sepatutnya. Walau pun tidak bersetuju mereka tidak melahirkannya secara terus atau secara terbuka. Mereka berpegang teguh dengan adat dan budaya. Mereka yang berada pada kedudukan lebih tinggi secara automatik dianggap lebih 'betul' berbanding dengan mereka yang berada pada kedudukan lebih rendah.

Keselesaan yang dinikmati menyebabkan mereka alpa. Sikap hipokrit yang berleluasa menghalang PAS memahami realiti semasa dalam masyarakat. Akibatnya, pada 2004 PAS tertiarap dengan muka terhempas ke tanah. Adakah PAS mendapat malu? Adakah PAS menyesal? Adakah PAS tahu sebabnya? Sudah tentu jawapannya adalah ia.

Kalau begitu kenapa PAS dapat menempuhi saat-saat kekalahan di Terengganu dengan berlapang dada dan tabah? Apakah nilai yang ada dalam diri PAS sehinggakan kekalahan yang pada skala yang sama tetapi katakanlah berlaku dalam parti lain boleh menimbulkan keretakan, tetapi pada PAS ia seolah-olah tidak ada apa yang berlaku?

PAS sudah biasa dengan kekalahan terutama di peringkat daerah. Pengalaman pahit jika berulang banyak kali akhirnya akan berubah menjadi satu kebiasaan. Kalau perkara yang dianggap pahit berlaku ia pasti mendukacitakan. Kalau perkara sama berlaku pada PAS tetapi oleh kerana faktor kebiasaan itu tadi, ia tidak mendukacitakan mereka.

Hanya mereka yang tidak biasa menempuhi situasi sukar akan berasa panik, gugup dan tertekan apabila perkara yang bukan satu kebiasaan tiba-tiba berlaku!

Justeru untuk mengurangkan impak negatif susulan daripada sesuatu kegagalan dalam kehidupan makanya setiap individu harus faham bahawa tidak ada satu pun yang kekal dalam hidup dan dalam alam ini. Setiap minda perlu didedahkan dengan prisip alam dan bersedia dari segi psikologi untuk berhadapan dengan pelbagai kemungkinan.

Siapa sangka Burma boleh dilanda hurikan Nargis? Impaknya akan menjadi lebih besar dan berpanjangan sekiranya mangsa taufan berkenaan gagal menerima hakikat bahawa kehidupan manusia adalah 'rapuh dan mudah pecah'.

Anggaplah ujian daripada Tuhan sebagai satu peringatan, pengajaran dan supaya manusia menjadi lebih 'kuat'.