Wednesday, May 21, 2008

Mengkritik Biar Berhemah


MENGKRITIK BIAR BERHEMAH , SUPAYA BERSATU BUKAN BERPECAHHari ini, semua menerima hakikat bahawa UMNO yang menjadi tunjang kekuatan Melayu telah kalah teruk di dalam pilihanraya umum ke 12. Kekalahan ini pasti ada puncanya .


Punca kekalahan inilah yang sepatutnya menjadi asas perdebatan dan perbincangan semua ahli UMNO , baik pemimpin mahupun ahli akar umbi demi memastikan usaha kearah mengangkat kembali maruah dan kekuatan UMNO. Daripada punca ini, kita usahakan jalan terbaik untuk penyelesaiannya.


Tetapi apa yang berlaku saat ini seperti mengarah kepada agenda peribadi. Ramai yang seakan-akan seperti menangguk di air keruh – hendak mengeruhkan lagi keadaan. Persoalan lebih tertumpu kepada siapa yang perlu dipersalahkan.


Ada pendapat yang mengatakan kekalahan ini kerana Pak Lah, kerana Khairy Jamaludin, kerana Tun Mahathir yang berterusan memberi kritikan kepada kerajaan dan galakan supaya lebih banyak pembangkang mengisi parlimen, kerana pengerusi perhubungan negeri, kerana ketua bahagian, kerana calon yang tak terpilih dan sebagainya.


Akhirnya hari ini kita lebih memberi tumpuan kepada persoalan siapa yang bersalah. Kini timbul pula persoalan kuota pencalonan kepimpinan UMNO yang menjadi perdebatan utama. Apakah kekalahan UMNO disebabkan kuota ini?. Semasa UMNO dan BN menang besar pada tahun 2004, sistem kuota ini telah diguna pakai.


Kalau perlupun perubahan dalam persoalan kuota ini, bahagian UMNO boleh terus bawa sebagai usul dalam perhimpunan UMNO untuk dibincangkan semula. Janganlah kerana permasalahan peribadi, kita pesongkan permasalahan sebenar kepada perkara lain. Andai benar kekalahan ini atas kelemahan Pak Lah, Khairy, pengerusi perhubungan, ketua bahagian atau apa saja faktor, apakah jalan penyelesaiannnya dengan meletak jawatan?..


Bagi saya, itu tindakan yang tidak bertanggugjawab. Saya yakin bahawa atas apa sahaja faktor yang menyumbang kepada kekalahan UMNO dan BN di dalam pilihanraya yang baru lalu, Pak Lah bersama kepimpinan UMNO dan BN menerimanya sebagai satu kelemahan yang perlu diperbaiki. Bukan mengambil tindakan meletak jawatan dan melepaskan masalah ini kepada orang lain. Tentulah tindakan seperti ini, merupakan tindakan seorang pengecut.


Marilah kita ahli UMNO sama-sama berusaha untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dalam keadaan yang memerlukan kita bangkit semula. Usahlah kita mengambil kesempatan untuk melepaskan dendam dan mewujudkan keadaan yang lebih kritikal di dalam UMNO dalam situasi hari ini. Rasulullah bersama umat Islam menang dalam perang Badar dan kemudiannya kalah teruk dalam perang Uhud walaupun pada ketika itu kemenangan sepatutnya diperolehi.


Namun kerana kekalahan itulah akhirnya umat Islam kembali bangkit dengan lebih hebat dan cemerlang. Oleh itu kita mohon semua ahli UMNO agar kembali bertaut dan berpadu bersama kepimpinan yang ada di bawah kepimpinan Pak Lah bagi memastikan UMNO kembali kuat demi maruah bangsa dan negara.


Ketepikan persoalan peribadi dan dendam. Baik Tun Mahathir, Tengku Razaleigh atau siapa sahaja, kemukakanlah permasalahan secara telus dan berhikmah serta cadangkanlah penyelesaian terbaik. Saya yakin kekalahan kita bukan atas faktor individu tetapi atas faktor yang pelbagai. Sama-samalah kita renung....apakah dengan pengunduran Dato’ Seri Khir Toyo di Selangor, segala masalah selesai dan menjamin UMNO kembali menang.


Bagi saya Pak lah tetap pemimpin yang sepatutnya bertanggungjawab untuk memulih dan mengangkat kembali maruah UMNO. Berilah sokongan padu kepada Pak lah dan bantu beliau untuk sama mengembalikan kekuatan kita , kekuatan UMNO dan kekuatan Barisan Nasional. Sekian.


Yang benar,

(AHMAD BIN DARUS )

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kepala Batas,

2 comments:

Unknown said...

Seorang Tun pernah mengkritik dengan berhemah menerusi ungkapan "duri dalam daging".

Seorang menantu pernah mengkritik dengan berhemah menerusi ungkapan "beruk". Itu berhemah ke?

Kritikan-kritikan yang sedang giat dilemparkan oleh pemimpin UMNO amat "berhemah" dan tinggi tarafnya seperti Akademi Fantaria, Malaysia Idol dan seumpamanya.

Syabas! Teruskan kritikan berhemah itu. Haruman kapur barus akan menusuk deria bau kita tidak lama lagi.

Anonymous said...

sekali sekala belajar menerima kritikan yg pedas. Ni untuk mengelakkan ada org besar kepala..