Wednesday, May 21, 2008

Mukhriz nafi akan keluar parti julai ini

KUALA LUMPUR 21 Mei — Anggota Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Datuk Mukhriz Mahathir hari ini menafikan yang beliau akan keluar dari parti sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak meletakkan jawatan Julai ini.


Mukhriz berkata apa yang disuarakan dalam kenyataannya semalam ialah beliau mempunyai hak untuk mengubah pendirian (kekal dalam UMNO) pada bila-bila masa mengikut perkembangan terkini dan beliau tidak menyatakan hanya ada satu cara iaitu keluar parti, sedangkan banyak lagi cara lain yang boleh diambil.

"Saya tidak kata menjelang Julai jika Perdana Menteri tidak berundur, maka saya akan keluar parti,” jelas beliau kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Mukhriz yang juga anggota Parlimen Jerlun berkata Julai adalah merujuk kepada mesyuarat cawangan yang akan bermula dan beliau berharap satu perubahan drastik akan berlaku sebelum mesyuarat cawangan bermula dan bukan mengambil keputusan keluar parti.

Mukhriz, pada sidang akhbar semalam, dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak teragak-agak untuk mengubah pendiriannya itu jika sehingga Julai, Abdullah tidak meletak jawatan.

Mukhriz juga menyatakan tidak akan mengikut jejak langkah bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad yang keluar dari Umno dua hari lepas.

Beliau berkata tidak perlu keluar dari parti kerana banyak lagi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan diperjuangkan bukan sahaja untuk parti malah bagi kawasan Parlimen yang diwakilinya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin kesal dengan kenyataan Muhkriz semalam dan berkata akan merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Pengurusan Umno.

Dalam reaksinya, Mukhriz berkata, beliau sedia untuk menghadapi sebarang tindakan yang bakal dikenakan terhadapnya dan merasakan proses dilalui sekarang ini akan terus memberikan kekuatan kepada Pemuda Umno.

"Saya tidak akan keluarkan sebarang kenyataan kalau saya sendiri tidak sanggup menerima tindakan termasuk daripada Jawatankuasa Pengurusan,” katanya sambil menganggap kenyataan Hishammuddin itu ekoran daripada salah faham terhadap kenyataannya semalam.

Mukhriz berkata beliau akan menghadiri mesyuarat exco Pemuda Jumaat ini seperti biasa kerana ini bukan kali pertama beliau berdepan dengan kritikan dari kalangan rakan-rakannya sendiri.

pulang ke muka utama

No comments: